Dua maut dalam kemalangan melibatkan lori simen di Sri Aman

Operasi Bomba di lokasi kejadian.

SRI AMAN, 9 Okt: Dua lelaki disahkan meninggal dunia dalam kemalangan kendiri melibatkan sebuah lori simen di jejambat Sri Aman hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata kedua-dua mangsa yang masing-masing berusia 42 (pemandu) dan 46 disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas diperiksa anggota paramedik dari Hospital Sri Aman.

Katanya, kedua-dua mangsa tersepit di dalam lori.


“Laporan diterima pada jam 9.14 pagi dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Setibanya di lokasi kejadian didapati benar berlaku kemalangan melibatkan sebuah lori simen yang terbabas melanggar penghadang tebing jalan raya dan terdapat dua mangsa tersepit,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pasukan Bomba yang dibantu pihak kontraktor lebuhraya Pan-Borneo dengan menggunakan jengkaut berusaha mengalihkan lori tersebut untuk memboleh kedua-dua mangsa dikeluarkan.

“Setelah ruang kerja diwujudkan, pasukan Bomba menggunakan ‘rescue tool’ mengeluarkan kedua-dua mangsa yang tersepit.

“Setelah mangsa berjaya dikeluarkan, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Sri Aman mengesahkan kedua-dua mangsa telah meninggal dunia,” katanya.

Mayat kedua-dua mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Pasukan Bomba kemudian berangkat balik ke balai selepas selepas operasi di lokasi kejadian. — DayakDaily