Dua lelaki Semenanjung dicekup disyaki edar dadah

Dadah yang dirampas polis.

Oleh Dean Adam

MIRI, Mac 13: Kegiatan licik dua lelaki dari Semenanjung Malaysia yang disyaki terlibat dalam jenayah pengedaran dadah di sini berakhir apabila mereka diberkas, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak, Supt Sahar Abd Latif berkata, kedua-dua suspek ditahan di dua lokasi berasingan kira-kira pukul 4.30 petang.


Jelasnya, kedua-dua lelaki yang ditahan itu berusia 39 dan 50 tahun.

“Hasil pemeriksaan polis telah menemui lima paket plastik lutsinar berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu seberat 83.00 gram.

“Polis turut menemui satu paket plastik lutsinar berisi serbuk putih disyaki dadah jenis heroin seberat kasar 1.93 gram,” katanya di sini hari ini.

Sahar menambah, nilai rampasan dadah berkenaan adalah sebanyak RM12,517.60 iaitu syabu (RM12,450) dan heroin (RM67.60).

Katanya, polis turut merampas wang sebanyak RM10,000 disyaki hasil aktiviti pengedaran dadah.

“Ujian air kencing juga mendapati suspek positif dadah jenis amphethamine dan methamphetamine.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama,” jelasnya. — DayakDaily