Dua lelaki pecah rumah dicekup di Miri

Kedua-dua suspek (berdiri tiga dari kiri dan dua dari kanan) dibawa ke Balai Polis Pusat Miri untuk siasatan lanjut.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 2 Ogos: Susulan kehilangan 11 botol minuman keras pelbagai jenama,  sebuah laptop jenama Acer dan bag sandang dari sebuah rumah di Senadin pertengah bulan Jun yang lalu, polis Miri lewat petang Ahad (1 Ogos) telah menahan dua lelaki untuk siasatan lanjut.

Suspek pertama telah ditahan di hadapan sebuah hotel murah di Permyjaya sekitar jam 5.40 petang semalam sementara seorang lagi suspek ditahan sejam kemudian di sebuah rumah di Lorong Dato Permaisuri.


Menurut Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari, penahanan suspek dilakukan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ) Miri dalam operasi ‘Dadu’.

Polis percaya dapat menyelesaikan sekurang-kurangnya lima kes pecah rumah sekitar Senadin dan Permyjaya dengan penahanan suspek.

Turut ditemui semasa penahanan kedua-dua suspek adalah sebuah motorsikal dipercayai telah digunakan dalam kegiatan pecah rumah, sebotol minuman keras, sebuah telefon bimbit, sebuah bag sandang dan televisyen LED jenama Sharp.

Semakan terhadap telefon bimbit suspek mendapati ada laman web berunsurkan perjudian atas talian.

Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.— DayakDaily