Dua lelaki meninggal dunia dalam kemalangan di Jalan Batu Kawah-Bau

Keadaan di lokasi kemalangan di Jalan Batu Kawah-Bau.

KUCHING, 10 Mac: Dua orang disahkan terkorban dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Batu Kawah–Bau, pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Supt Alexson Naga Chabu berkata mangsa yang meninggal dunia adalah dua lelaki warga tempatan, iaitu pemandu berusia 29 dari Kampung Hulu dan penumpang berusia 37 tahun dari Kampung Sungai Tapang.

Katanya kemalangan berlaku apabila kereta Perodua Axia yang dinaiki kedua-dua mangsa dari arah Batu Kawah menghala ke Bau dilanggar dari belakang oleh sebuah Perodua Alza kerana dikatakan berhenti secara mengejut.


“Kereta mangsa kemudian dikatakan terbabas dan masuk ke laluan bertentangan lalu dilanggar oleh sebuah van sekitar jam 8.25 pagi.

“Kedua-dua mangsa tersepit di dalam kereta dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh paramedik Hospital Umum Sarawak (HUS),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau menambah mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Unit Forensik HUS untuk tindakan lanjut.

Pemandu Perodua Alza dan pemandu van hanya mengalami kecederaan ringan.

Siasatan lanjut kes masih dijalankan bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — DayakDaily