Dua lelaki maut, Toyota Hilux jatuh gaung di Jalan Kampung Kambug

Keadaan Toyota Hilux yang terjatuh dalam gaung.

PADAWAN, Sept 27: Dua lelaki maut apabila sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang dinaiki mereka terbabas lalu terjatuh ke dalam gaung di Jalan Kampung Kambug di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 petang itu, mangsa yang disahkan meninggal dunia dikenalpasti sebagai Sarik Susis, 55, dan Boy Gaus, 45.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt Alexson Naga Chabu berkata, kejadian tersebut juga mengakibatkan lima individu lain cedera.

Katanya, siasatan awal mendapati sebelum kemalangan itu, Toyota Hilux yang dipandu Terence Tikok Pirus, 56, dikatakan sedang bergerak dari arah Kampung Kiding menuju ke arah Kuching.

Bagaimanapun katanya, apabila tiba di lokasi kemalangan, kenderaan tersebut dipercayai terbabas ke sebelah kanan jalan dan terjatuh ke dalam gaung sedalam lebih kurang 20 meter.


“Impak kemalangan itu menyebabkan dua mangsa yang menduduki bahagian kabin terbuka di belakang terjatuh dan maut di tempat kejadian akibat cedera parah di bahagian kepala,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Alexson menambah, mangsa yang maut telah dibawa ke Hospital Umum Sarawak untuk tindakan lanjut.

Katanya, lima mangsa yang cedera turut dibawa ke hospital sama untuk menerima rawatan kecemasan.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.— DayakDaily