Dua lelaki ditangkap di Kg Tarat Mawang, disyaki terlibat kegiatan dadah

Dadah yang dirampas daripada suspek.
Advertisement

SERIAN, 15 April: Seorang lelaki disyaki tokan dadah tidak sempat melarikan diri apabila berjaya dicekup polis dalam satu serbuan ke atas sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Tarat Mawang, hari ini.

Ketua Polis Daerah Serian DSP Aswandy Anis berkata serbuan dilakukan oleh anggotanya dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian.

“Dalam serbuan tersebut, pihak polis berjaya menangkap seorang lelaki yang cuba melarikan diri.

Advertisement

“Pemeriksaan ke atas suspek di lokasi telah menjumpai lapan paket plastik lutsinar serta tiga plastik lutsinar merah masing-masing berisi ketulan-ketulan kristal disyaki dadah methamphetamine dari dalam beg sandang milik suspek,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelasnya, berat kasar keseluruhan rampasan adalah sebanyak 14.66gm bernilai sekitar RM1,500 dan suspek kemudiannya dibawa balik ke Pejabat BSJN IPD Serian untuk tindakan selanjutnya.

“Hasil saringan awal ke atas sampel urin yang dilakukan di Pejabat BSJ Narkotik kemudiannya mendapati air kencing suspek positif dadah methamphetamine,” katanya.

Sementara dalam serbuan berasingan yang juga dilakukan di lokasi sama telah berjaya menahan seorang lagi lelaki yang turut disyaki terlibat kegiatan dadah.

“Saspek kemudian dibawa balik Ke Pejabat BSJN IPD Serian untuk pemeriksaan urin dan hasil ujian saringan tersebut, suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine,” katanya.

Kedua-dua saspek yang berusia 21 serta 35 tahun tersebut disiasat dibawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 bagi kesalahan memiliki dadah merbahaya.

“Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum denda penjara kurang daripada dua tahun dan tidak lebih dari lima tahun serta hukuman sebat tidak lebih dari sembilan sebatan.

“Bagi kesalahan air kencing positif dadah jenis methamphetamine, kes disiasat di bawah Sek 15(1)(a) ADB 1952 yang boleh membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun,” katanya.

Kedua-dua saspek kini ditahan di Lokap Balai Polis Serian untuk siasatan lanjut. — DayakDaily

Advertisement