Dua lagi kes baharu orang disyaki Covid-19 di Sarawak

Graphics depicting variants of the Covid-19 virus.

KUCHING, 19 FEB: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak(JPBNS) hari ini melaporkan dua lagi kes baharu orang yang disyaki (PUI) Covid-19 di Sarawak hari ini.

Satu kes direkodkan di Hospital Umum Sarawak manakala satu lagi kes di Hospital Miri.

“Kedua-dua kes melibatkan warga Malaysia. Dengan jumlah ini, ia menjadikan kes PUI di Sarawak dari 10 Januari sehingga hari ini kepada 99 kes,” menurut JPBNS.


Kenyataan media itu juga memaklumkan bahawa majoriti 76 kes melibatkan rakyat Malaysia, 20 warga China, seorang warga Thailand, seorang warga Indonesia dan seorang warga Kanada.

Bagaimanapun, sebanyak 92 kes dibuktikan negatif selepas menjalani ujian makmal, manakala tujuh lagi kes masih menunggu keputusan.

Setakat 12 tengah hari pada Selasa, Jabatan Kesihatan Negeri telah memeriksa 11,761 pelawat yang tiba di beberapa lapangan terbang, pintu masuk darat dan laut di seluruh negeri.

Sejak 1 Februari, jumlah yang diperiksa tahap kesihatan ialah 131,292 orang. —DayakDaily.