KUCHING, Feb 2: Dua kumpulan parti politik bergaduh sesama sendiri hingga tercetusnya adegan ganas di sekitar kawasan Dewan Masyarakat Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) di sini hari ini.
Kekecohan itu dilaporkan berlaku kira-kira pukul 10 pagi apabila terdapat sebuah kumpulan parti politik tidak berpuas hati dengan proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Meskipun diberi amaran untuk bersurai, namun kira-kira 100 ahli kumpulan dari dua parti politik terbabit enggan mematuhi arahan yang dikeluarkan anggota Unit Tempur Ringan (LSF) dan Unit Tindakan Rusuhan Awam (PORU) dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching.
Mereka terus melakukan provokasi walaupun anggota LSF dan PORU bertugas mengawal keadaan tersebut.
Kekecohan yang tercetus kira-kira 20 minit itu kembali reda apabila pasukan keselamatan bertindak menahan ahli kumpulan tersebut.
Bagaimanapun, situasi seumpamanya hanyalah latihan persediaan bagi anggota polis bagi menghadapi PRU14 akan datang.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Abang Ahmad Abang Julai berkata, kira-kira 100 anggotanya terlibat dalam latihan simulasi tersebut untuk menguji kesiapsiagaan pasukan polis dalam menghadapi sebarang kemungkinan pada hari penamaan calon dan pengundian kelak.
Menurutnya, pihaknya telah melaksanakan beberapa fasa latih amal sebagai persediaan sebelum berlangsung PRU14.
“Latih amal ini juga dijalankan di seluruh negara melibatkan semua elemen dan aset selaras dengan arahan yang diterima sebelum ini.
“Kita mengambil serius latihan persediaan ini dengan menjalankan latihan amal seolah-olah sesuatu perkara besar berlaku bagi memastikan semua anggota terlibat tidak mengambil mudah perkara ini kelak,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Abang Ahmad menambah, seramai 1,022 pegawai dan anggota dari IPD Kuching akan digerakkan bagi memastikan proses PRU14 di daerah ini berjalan dengan lancar. ā DayakDaily