Dua beranak tinggal sehelai sepinggang, rumah didiami terbakar

Pasukan bomba sedang berusaha memadam kebakaran.

Oleh Dean Adam

MIRI, Mac 14: Dua beranak tinggal sehelai sepinggang selepas kediaman mereka di Kampung Rambai Bekenu di sini musnah terbakar petang tadi.

Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira pukul ,6.40 petang itu, dua beranak tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan.


Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Miri, Law Poh Kiong berkata, semasa kejadian itu, penghuni rumah tersebut iaitu Wasli Abdul Rahim, 54, dan ibunya, Zubaidah Usen, 75, dikatakan tidak berada di kediaman mereka.

Jelas beliau, siasatan awal mendapati sebuah rumah struktur tidak kekal jenis rumah yang dihuni mangsa terbakar 100 peratus.

“Sebelum itu, pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran berkenaan pada pukul 7.13 petang.

“Sepasukan bomba kemudian bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan operasi memadam kebakaran,” katanya di sini malam ini.

Law menambah, pasukan bomba sukarela Bekenu turut serta dalam operasi pemadaman tersebut selepas menerima panggilan kebakaran pada pukul 6.43 petang.

“Tindakan awal pasukan bomba sukarela adalah menjalankan operasi pemadaman untuk mengawal kebakaran dari merebak ke rumah berhampiran.

“Punca kebakaran dan jumlah kerugian akibat kejadian itu masih lagi dalam proses siasatan,” katanya. — DayakDaily