Dua beradik hilang dalam hutan ditemui selamat

Dua beradik yang dilaporkan hilang ditemui selamat.

SIMUNJAN, April 12: Dua beradik yang dilaporkan hilang selepas masuk ke hutan untuk menebang kayu di Kampung Sungai Alit kelmarin berjaya ditemui dalam keadaan selamat semalam.

Kedua-dua lelaki warga emas yang berusia 63 dan 72 tahun itu ditemui oleh pasukan bomba pada pukul 11.40 pagi.

Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kehilangan dua beradik itu pada 10.05 pagi.


Katanya, berdasarkan maklumat awal, kedua-dua warga emas dikatakan masuk ke dalam hutan untuk aktiviti menebang kayu kira-kira pukul 9 pagi pada 11 April lalu.

“Pasukan bomba bersama dengan penduduk kampung telah berjaya menjumpai kedua-dua mangsa dalam keadaan selamat pada pukul 11.40 pagi hari ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tiong menambah, operasi mencari dan menyelamat itu tamat sepenuhnya pada pukul 12.57 tengah hari. — DayakDaily