KUCHING, 23 Dis: Dua Balai Bomba dan Penyelamat Kelas E dicadang untuk dibina di kawasan Puncak Borneo bagi memberikan perkhidmatan kecemasan dan Bomba di kawasan tersebut.
Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Willie Mongin berkata, kedua-dua balai terbabit dicadang untuk dibina di Kampung Teng Bukap, Padawan dan di Krokong, Bau.
Katanya, susulan cadangan tersebut usaha untuk mengenalpasti tapak sesuai sedang dilakukan.
“Kita sedang berbincang dengan Jabatan Tanah Dan Survei sarawak supaya kita dapat tapak yang sesuai untuk bina balai bomba tersebut.
“Dengan adanya balai bomba kelas E ini, ia sedikit sebanyak dapat membantu kawasan kita di Puncak Borneo untuk membanteras dan memadam kebakaran serta aktiviti penyelamatan yang lain,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Kesedaran Kebakaran Semperna Perayaan Krismas dan sebagai penghargaan kepada petugas barisan hadapan di Balai Bomba dan Penyelamat Siburan di sini hari ini.
Willie berkata, beliau akan sentiasa komited dalam membantu usaha yang dilakukan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di kawasan Parlimen Puncak Borneo termasuk perlaksanaan Kempen Keselamatan dan Kesedaran Kebakaran.
“Sekiranya terdapat keperluan untuk anggota JBPM dalam melaksanakan program di Kawasan Puncak Borneo ini, saya sedia membantu,” katanya.
Terdahulu, dalam ucapannya, Willie memberitahu sebanyak 100 alat pemadam api diserahkan kepada penduduk Puncak Borneo yang tinggal di kawasan berisiko tinggi berlaku kebakaran.
Katanya, bagi kawasan Parlimen Puncak Borneo, tumpuan diberikan kepada kawasan rumah panjang memandang risiko untuk berlaku kebakaran di kawasan tersebut lebih tinggi berbanding tempat lain.
Bagaimanapun kata beliau, penyerahan bantuan alat pemadam api itu akan diperluas kepada seluruh kawasan Puncak Borneo secara berperingkat.
“Kita juga akan adakan program latihan berkaitan kepada penduduk di Puncak Borneo ini supaya apabila berlaku kebakaran atau kecemasan mereka tidak panik dan tahu apakah tindakan yang sepatutnya dilakukan,” katanya. — DayakDaily