DROBOTEX 2019 perjuang inovasi digital

Pemenang-pemenang pelbagai pertandingan merakamkan kenangan di acara penyampaian hadiah di BCCK, Kuching.
Advertisement

KUCHING, Okt 6: Program Borneo International Drone & Robotic Explore (DROBOTEX) 2019 yang julung kali diadakan melabuhkan tirai hari ini dengan majlis penyampaian hadiah kepada pemenang-pemenang pelbagai pertandingan.

Program tiga hari bermula Okt 4 hingga 6 itu menyediakan pertandingan ‘Line Follower Race,’ ‘Maze Solver Challenge,’ ‘Drone Obstacle Race,’ ‘Drone Delivery Service’ dan ‘Tiny Whoop Drone Race’.

Pertandingan disertai 200 individu dan pasukan dari Malaysia, Indonesia, Brunei, Filipina dan Thailand.

Advertisement

Kolej Vokasional Kuching muncul juara bagi kategori Terbuka ‘Drone Delivery Service’ dan kategori Sekolah dimenangi SMK Jalan Arang.

Dengan kejayaan itu, kedua-dua Kolej Vokasional Kuching dan SMK Jalan Arang menerima hadiah wang tunai RM3,000 dan RM2,000 masing-masing.

Hadiah-hadiah disampaikan Ketua Unit Kampung Digital Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) Hazwan Razak.

Penganjuran DROBOTEX adalah menjadi hasrat untuk meletakkan Sarawak dalam peta dunia sebagai negeri yang memperjuangkan inovasi digital.

Ia merupakan program yang menggabungkan dron dan robotik yang julung kali diadakan di Sarawak.

Suasana di ruang legar BCCK dikerumuni pelajar-pelajar sekolah yang mengunjungi DROBOTEX 2019.

Program tiga hari di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) meliputi pameran, bengkel dan pertandingan yang memberi pengalaman dan pemahaman kepada para pengunjung, pelajar dan masyarakat mengenai teknologi digital, cara mengoperasi, jenis-jenis dan manfaat kepada manusia.

DROBOTEX merupakan anjuran kerajaan Sarawak melalui TEGAS dan SMA dengan kerjasama pelbagai agensi lain.

Seramai 17 kumpulan terlibat dalam pameran sempena DROBOTEX selain penyertaan dari negara-negara jiran seperti Brunei, Indonesia, Singapura, Filipina dan Thailand. — DayakDaily

Advertisement