Draf MoU peruntukan wakil pembangkang dari Kerajaan perlu dipersetujui sebelum ke keputusan akhir — TPM Fadillah

Fadillah ketika ditemui di Kota Samarahan.
Advertisement

Oleh Chris Bishop

KOTA SAMARAHAN, 21 April: Draf memorandum persefahaman (MoU) berhubung peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang perlu dipersetujui sebelum ke keputusan akhir, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

“Kami (Kerajaan Perpaduan) sediakan draf dahulu, bila siap dan dipersetujui kita akan agih kepada pihak pembangkang.

Advertisement

“Selepas itu, mereka (pembangkang) akan menilai samada bersetuju ataupun ada pindaan dan sebagainya.

“Apabila sudah baru kita bawa kepada keputusan akhir,” kata Fadillah ketika ditemui di Ramah Tamah Aidilfitri Adun Stakan di sini, hari ini.

Sementara itu Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, pihaknya memerlukan sedikit masa untuk menyiapkan draf tersebut.

Setelah siap nanti katanya, perkara tersebut akan dimaklumkan kepada pihak media.

Pada Rabu lepas, Majlis Pimpinan Tertinggi Sekretariat Kerajaan Perpaduan secara dasarnya bersetuju untuk mempertimbang menyalurkan peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang.

Perkara ini dipersetujui dalam mesyuarat lebih satu jam yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, serta dihadiri pemimpin tertinggi parti-parti komponen Kerajaan Perpaduan di Putra Jaya. — DayakDaily

Advertisement