KUCHING, Okt 6: Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Dr Sim Kui Hian berkata Sarawak tidak akan mengambil keputusan drastik menutup klinik-klinik di kawasan luar bandar.
Katanya, walaupun cadangan tersebut ada dikemukakan Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan pada pertemuan dengan beliau beberapa hari yang lalu, keputusan itu bukanlah pilihan yang bijak.
“Mereka mencadang mungkin kita boleh menggabungkan klinik-klinik di luar bandar yang kadar pelawatnya rendah.
“Ianya bukanlah satu keputusan yang bijak dan cadangan untuk menutup klinik bukanlah satu pilihan.
“Kita mesti mengkaji isu ini, mungkin klinik dibuka pada hari-hari tertentu sahaja atau kita menyediakan perkhidmatan kesihatan bergerak,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-47 Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Cawangan Sarawak yang diadakan di sebuah hotel di sini, semalam.
Tambah Dr Sim, populasi penduduk luar bandar sekarang semakin berkurangan akibat penghijrahan penduduk luar bandar ke bandar yang tidak dapat dihalang.
Justeru katanya, data menunjukan sesetengah klinik di luar bandar hanya merekod 5 hingga 10 orang pelawat dalam sehari.
“Oleh yang demikian dan saya tahu kita ada 7 kategori klinik pada masa sekarang, di Sarawak kita harus ada kategori ke-8.
“Klinik ini hanya dibuka pada pagi hari Isnin, Rabu dan Jumaat sahaja dan pada hari Isnin, Selasa dan Khamis kita boleh menyediakan perkhidmatan klinik bergerak,” katanya.
Di samping itu, ujar Dr Sim, kuasa autonami berhubung perkara kesihatan di negeri ini mesti diberikan pada Sarawak.
“Sekurang-kurangnya kita ada autonomi di dalam pengurusan yang memberikan kita kuasa untuk menentukan jumlah pakar, pegawai perubatan dan pelatih.
“Kita juga ingin menentukan sendiri bagaimana kita menguruskan semua perkhidmatan kesihatan,” katanya.
Mengulas isu berkaitan, beliau berkata Bandaraya Kuching tidak lagi memerlukan hospital umum tambahan.
Ujar beliau, Kuching sekarang memerlukan hospital pakar seperti pusat jantung, hospital kanak-kanak dan wanita.
“Ia adalah cara untuk melangkah ke depan dan tidak lagi hospital umum yang ada had berkaitan dengan kemudahan yang disediakan,” katanya. — DayakDaily