Dr Sim gesa MBKS terus cemerlang bangunkan Bandaraya Kuching

Wee (tiga dari kiri) menyampaikan cenderamata kepada Dr Sim di Majlis Makan Malam Tahunan 2024 MBKS.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 21 Jan: Timbalan Premier Datuk Amar Dr Sim Kui Hian mahukan Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) terus cemerlang dalam memberikan perkhidmatan dan membangunkan Bandaraya Kuching.

Justeru beliau yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan menggesa semua kakitangan MBKS meningkatkan usaha dan menjadi yang terbaik di Negeri ini.


“Jika anda bertugas di bahagian pentadbiran, tukang kebun, kaunselor atau lain-lain, jadilah yang terbaik.

“Saya mahukan kakitangan MBKS menjadi yang terbaik dan menjadi contoh kepada pihak kerajaan tempatan yang lain,” katanya.

Dr Sim berkata demikian di Majlis Makan Malam Tahunan 2024 MBKS di Kuching malam ini.

Tambah beliau, MBKS adalah satu organisasi besar dan memainkan peranan penting dalam membangunkan wilayah Sarawak.

“Sebab itu malam ini saya bersama MBKS kerana saya mahu ia menjadi satu organisasi yang hebat.

“Di Sarawak kita ada 26 pihak kerajaan tempatan, tapi saya memilih untuk bersama MBKS,” ujar Dr Sim.

Dalam pada itu Datuk Bandar MBKS Dato Wee Hong Seng dalam ucapannya berkata, MBKS saban tahun telah mencapai kejayaan di luar jangkaan.

Katanya, ia terbukti apabila Kuching diiktiraf sabagai Bandaraya Gastronomi di peringkat antarabangsa.

“Ini membuktikan kakitangan MBKS dan para ahli majlis memiliki idea, cadangan dan penyelesaian yang kreatif dalam setiap permasalahan.

“Pencapaian ini bukan berhenti setakat ini sahaja, ia mendorong kepada pencapaian yang lebih besar, ” kata Wee. — DayakDaily