Oleh Chris Bishop
KUCHING, Mac 3: Pakatan Harapan(PH) harus menyalahkan diri sendiri di atas kegagalan mempertahankan kedudukan sebagai kerajaan persekutuan, kata Presiden SUPP Datuk Dr Sim Kui Hian.
Menurut beliau, merekalah (PH) punca sebenarnya kewujudan kerajaan baharu yang mereka gelar sebagai ‘kerajaan pintu belakang’.
“Mereka tuduh Perikatan Nasional adalah kerajaan pintu belakang, tanyalah mereka siapa yang buka pintu?
“Jika DAP dan PKR tidak terlalu mendesak Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, saya rasa PH masih berkuasa hingga hari ini.
“Cerminlah diri sendiri, jika tiada yang buka pintu, tidak akan ada pintu belakang pintu depan,” katanya ketika ditemui media pada Forum Keharmonian Antara Agama Peringkat Negeri Sarawak yang diadakan di Pusat Penerangan Islam Sarawak (SIIC) hari ini.
Justeru, Dr Sim menggesa pemimpin-pemimpin PH untuk tidak melemparkan tuduhan bahawa keruntuhan PH juga berpunca dari sokongan yang Gabungan Parti Sarawak(GPS) berikan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Tambah beliau yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, pemimpin PH harus menilai sendiri keikhlasan mereka di dalam semua perkara.
Katanya, bila semua perancangan tak menjadi, mereka(PH) menyalahkan Sarawak.
“Minggu lepas kita melihat karakter sebenarnya wakil wakil rakyat yang dipilih.
“Yang paling penting untuk Sarawak ialah untuk tidak dipermainkan lagi. Semua ini bermula di Malaya dan mereka lupa pada kita di Sarawak.
“Bila kesempitan mereka perlukan bantuan Sarawak,” ujar Dr Sim.
Tambah beliau lagi, pada proses memilih perdana menteri kelapan yang dilakukan Yang di-Pertuan Agong Sabtu lepas, Istana Negara menunggu jawapan dari Sarawak(GPS).
Ketua Menteri menerima panggilan dari istana pada jam 4 petang dan menunggu Sarawak untuk membuat keputusan.
“Tiada pilihan untuk membuat keputusan berkecuali. Pada jam 4 petang Sarawak membuat keputusan dan kemudiannya Agong mengumumkan perdana menteri kelapan pada jam 4.40 petang,” ujar beliau lagi. —DayakDaily.