Dr Saadiah bersara wajib sebagai Setiausaha Tetap KWKPK

Dr Saadiah (kiri) menyerah tugas kepada Caroline sebagai Pemangku Setiausaha Tetap Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak sambil disaksikan oleh Fatimah (empat dari kanan) dan lain.

KUCHING, 19 Nov: Setiausaha Tetap Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak (KWKPK), Dr Saadiah Abdul Samat akan bersara wajib bermula esok selepas berkhidmat selama lebih tiga tahun di kementerian terbabit.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata sepanjang berkhidmat dalam tempoh tersebut Dr Saadiah merupakan seorang yang mempunyai naluri untuk kesegeraan, komitmen tinggi, dan sangat fokus dalam menjalankan tugas beliau.

“Sepanjang perkhidmatanya, beliau (Dr Saadiah) merupakan seorang pemimpin yang telah membawa budaya korporat ke dalam KWKPK, rajin dan kuat bekerja, tegas, bersifat terbuka dan berani membuat keputusan,” jelas Fatimah dalam satu kenyataan hari ini.


Fatimah berkata, semasa perkhidmatannya, Dr Saadiah telah berjaya membawa kepada penubuhan ‘One-Stop Early Intervention Centre’, pengambil alihan Taska dan Tadika Sedidik oleh kerajaan negeri serta pelaksanaan inisiatif ‘From Cradle To Grave’ yang memberikan manfaat kepada rakyat Sarawak bermula daripada bayi yang baharu lahir hingga kepada warga emas di Sarawak.

Katanya, sikap dan kepimpinan yang ditunjukkan oleh Dr Saadiah dalam KWKPK sangat dihargai oleh semua pihak terutama bahagian dan unit baharu KWKPK.

Justeru, Fatimah berharap sikap dan kepimpinan Dr Saadiah dapat dicontohi oleh setiap individu dalam kementerian itu dalam usaha mengekal dan menguruskan kesejahteraan masyarakat, mendukung kedudukan wanita serta mengukuhkan institusi keluarga di Sarawak.

Selepas persaraan Dr Saadiah, jawatan Setiausaha Tetap KWKPK akan dipangku sementara oleh Caroline Cleophas Joseph. — DayakDaily