Dr Mohamed Sapian: Kebanyakan daripada 5,291 kes baru dari keputusan sampel tunggakan, 99.9 peratus di Kategori 1, 2

Dr Mohamed Sapian (file photo).

KUCHING, 12 Sept: Kebanyakan daripada 5,291 kes baharu Covid-19 di Sarawak adalah dari keputusan sampel tunggakan lima hari yang lepas di mana 99.9 peratus adalah di tahap Kategori 1 dan 2 semasa dikesan positif.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) Dato Dr Mohamed Sapian Mohamed berkata, jumlah 5,291 kes baru hari ini adalah dari 28,065 keputusan sampel yang diuji.

Tambah Dr Mohamed Sapian, peningkatan kes harian telah menyebabkan peningkatan aktiviti pengesanan aktif kontak kepada kes di semua bahagian di Sarawak terutamanya di lokaliti yang mempunyai kluster aktif.


Katanya, bilangan sampel yang tinggi ini telah membebankan kapasiti makmal sedia ada.

“Justeru memanjangkan tempoh masa diperlukan untuk memperolehi keputusan ujian walaupun melalui penyumberluaran yang telah dilaksanakan.

“Walaupun terdapat tunggakan masa dalam memperolehi keputusan, semua kontak yang berisiko telah diberi Home Surveillance Order (HSO) bagi mengelakkan penyebaran dalam komuniti,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Dr Mohamed Sapian, JKNS sedang dan terus menjalankan pemantauan bagi menilai situasi Covid-19 di Sarawak.

Jelas beliau, penggunaan Rapid Test Kit (RTK) Antigen akan digunakan dengan lebih meluas di seluruh Sarawak bagi mengenalpasti kes positif dengan kadar yang cepat agar tindakan kawalan dapat dilakukan dengan pantas.

“Perancangan strategi mitigasi sedang dirangka dan strategi terperinci akan diumumkan dalam masa terdekat setelah dibincangkan bersama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dan Kementerian Kesihatan Malaysia,” katanya.

Sarawak merekodkan kes baharu harian 5,291 tertinggi hari ini dan hari kelapan berturut-turut bilangan kes harian melebihi angka tiga ribu bermula 5 September 2021. — DayakDaily