Dr Juanda: Kesetiaan penduduk luar bandar dibalas dengan projek pembangunan

Datuk Dr Juanda Jaya

KUCHING, Mei 17: Projek pembinaan jalan utama kedua merupakan usaha kerajaan untuk mempercepatkan pembangunan di luar bandar.

ADUN Jemoreng Datuk Dr Juanda Jaya berkata, siap kelak, sistem perhubungan di kawasan luar bandar akan bertambah baik dan membolehkan aktiviti ekonomi dipertingkatkan.

“Keperluan utama adalah untuk membangunkan kawasan luar bandar dan pembinaan jalan utama kedua akan menyediakan sistem perhubungan yang baik.


“Melalui jalan ini, aktiviti ekonomi dapat ditingkatkan dimana produk pertanian dan perikanan dari kawasan luar bandar dapat dipasarkan terus ke bandar,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Justeru, Dr Juanda mempersoalkan tindakan Presiden Parti Sarawak Bersatu (PSB) Datuk Seri Wong Soon Koh yang menganggap pembinaan jalan tersebut sebagai membazir wang kerajaan.

Menurut Dr Juanda lagi, Wong seolah-olah menentang agenda pembangunan luar bandar yang merupakan fokus utama kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

“Apakah Wong dan PSB suka melihat kawasan luar bandar terus mundur?

“Apakah beliau mahu semua kawasan pesisir terus tidak ada sistem perhubungan dan kemudahan asas sama seperti kawasan DUN Bawang Assan yang diwakili beliau atau kawasan Selangau yang pernah diwakili oleh pemimpin PSB iaitu Datuk Joseph Entulu?” tanya Dr Juanda.

Mengulas lanjut, Dr Juanda berkata kesetiaan penduduk di luar bandar kepada parti pemerintah selama ini sewajarnya dibalas dengan pelbagai projek pembangunan secara besar besaran.

Katanya, cukuplah membangunkan kawasan bandar di mana pihak wakil rakyat kawasan bandar boleh duduk tenang kerana segala kemudahan di bandar telah lengkap. — DayakDaily