KUCHING, 6 Ogos: Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Dr Hazland Abang Hipni telah menyumbangkan sebanyak RM20,000 kepada Kesatuan Sekerja Lembaga Pelabuhan Kuching.
Sumbangan itu diberikan oleh beliau di Majlis Makan Malam sempena Ulangtahun ke-56 Kesatuan mereka di Pusat Konvensyen Penview, Demak Laut pada Sabtu.
Dr Hazland selaku ADUN Demak Laut berkata, sumbangan itu diberikan sebagai dana tambahan bagi kesatuan tersebut menjalankan aktiviti-aktiviti semasa mereka.
“Dengan adanya sumbangan ini, kesatuan sekerja dapat merancang pelbagai aktiviti dengan sewajarnya selaras dengan agenda kerajaan pada masa kini dan akan datang,” katanya.
Dalam majlis itu juga, beliau menyeru agar semua pekerja di pelabuhan yang masih belum menyertai kesatuan tersebut untuk mendaftar segera.
Ujar beliau, dengan adanya kesatuan ini menjadikan para perkerja lebih bersemangat dalam menempuhi pelbagai cabaran dan dugaan serta permasalahan ditempat kerja yang mereka hadapi dari semasa ke semasa.
Kesatuan Sekerja Lembaga Pelabuhan Kuching atau lebih dikenali sebagai Kuching Port Authority Employees Union (KPAEU) telah ditubuhkan pada tahun 1967 dan mempunyai keahlian sebanyak 215 orang. — DayakDaily