Dr Chin: Dry run penghantaran vaksin Covid-19 ke Belaga baru-baru ini amat penting

File photo depicting syringes filled with the Pfizer-BioNTech Covid-19 vaccine.

KUCHING, 2 Feb: Aktiviti Dry Run penghantaran vaksin Covid-19 daripada syarikat Pfizer Sdn Bhd ke Klinik Kesihatan (KK) Belaga baru-baru ini merupakan satu aktiviti yang sangat penting sebagai permulaan sebelum vaksin Covid-19 sebenar diterima oleh pihak KKM untuk digunakan di pusat-pusat vaksinasi seluruh Malaysia, jelas Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sarawak Dr Chin Zin Hing dalam kenyataan akhbar hari ini.

Jelas beliau, seperti yang diketahui umum, vaksin keluaran syarikat Pfizer memerlukan penyimpanan pada suhu ultra sejuk, -75°C (+/-15°C) yang memberi cabaran dalam proses pengedaran vaksin tersebut.

“Susulan itu, aktiviti dry run tersebut diadakan adalah semata-mata bagi melihat dan memastikan pengekalan suhu ultra sejuk -75°c (±15°c) vaksin keluaran Pfizer adalah terjamin sepanjang tempoh penghantaran dari pengilang ke destinasi luar bandar,” jelas beliau.


Selain itu, Dr China berkata, latihan tersebut juga membantu KKM dalam membuat penilaian kebolehlaksanaan proses-proses terlibat dalam pengendalian vaksin Covid-19 di seluruh Malaysia selain sebagai satu simulasi terhadap Panduan Pengendalian Vaksin Covid-19 yang telah dibangunkan oleh pihak KKM.

“Oleh demikian, aktiviti dry run yang telah dijalankan pada 29 Januari 2021 di KK Belaga merupakan latihan dan juga percubaan menggunakan hanya botol berisi larutan saline (saline-filled bottle) sebelum situasi penerimaan dan penghantaran vaksin Covid-19 keluaran Pfizer yang sebenar.

“Malah, tiada ujian yang dilakukan ke atas mana-mana individu. Bagi aktiviti dry run tersebut pula, Thermal Shipping Container yang digunakan untuk penyimpanan vaksin, serta mengandungi dry ice dan dilengkapi dengan thermal logger telah diterbangkan daripada negara pengeluar Belgium melalui penerbangan komersial ke Subang sebelum diterbangkan ke Kuching dan dihantar melalui jalan darat ke Bintulu dan seterusnya KK Belaga,” kata beliau.

Dr Chin Zin Hing (file pic)

Dr Chin berkata, didapati juga bahawa Thermal Shipping Container yang dihantar oleh pihak Pfizer telah berjaya mengekalkan suhu simpanan produk antara -90°C hingga -60°C sepanjang perjalanan tersebut.

“Melalui kejayaan pelaksanaan aktiviti dry run ini, KKM berharap ianya dapat membantu semua pihak dalam merancang langkah-langkah yang terbaik agar dapat menjamin pembekalan vaksin Covid-19 sebenar nanti secara berkualiti, selamat dan berkesan kepada seluruh rakyat Malaysia amnya dan Sarawak khususnya, terutama bagi mereka yang tinggal di kawasan luar bandar,” tambah Dr Chin.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan yang dimuat naik oleh netizen di laman sosial Facebook pada 2 Februari 2021 berkaitan aktiviti dry run penghantaran vaksin Covid-19 ke Klinik Kesihatan Belaga pada 29 Januari 2021 oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). — DayakDaily