DKN2030 tingkatkan minat graduan ceburi bidang keusahawanan, kata Wan Junaidi

Dato Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar
Advertisement

KUCHING, 14 JULAI: Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN2030) telah menggariskan usaha bagi membudayakan keusahawanan kepada graduan-graduan universiti.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi(MEDAC) Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, ia bertujuan meningkatkan lagi minat mereka untuk menceburi bidang keusahawanan sebagai kerjaya.

Justeru katanya, beberapa inisiatif telah diperkenalkan oleh pihak kementerian untuk mencapai matlamat itu.

Advertisement

“Antaranya ialah program tekno-usahawan yang merupakan program rintis bagi membangunkan kemahiran dan pengetahuan graduan IPT berkenaan teknologi 4.0.

“Ia seterusnya berpotensi memberi peluang pekerjaan dan peluang kepada graduan bagi menceburi bidang keusahawanaan teknologi.

“Program ini mensasarkan penyertaan sebanyak 500 peserta dari kalangan graduan dan bakal graduan. Sehingga 9 Jun 2020, seramai 324 graduan IPT telah memberikan respon bagi mengikuti program ini,” kata Wan
Junaidi.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan lisan MP Kota Samarahan Rubiah Wang pada persidangan parlimen hari ini.

Rubiah bertanya berhubung bentuk pelan tindakan daripada pihak Kementerian dalam membantu graduan universiti menyertai bidang
keusahawanan.

Selain itu tambah Wan Junaidi, kementerian juga menyediakan Program Latihan Pertanian dan Pembangunan Industri(ACID).

Katanya, program ini menawarkan peluang latihan keusahawanan melalui bidang pertanian bagi graduan-graduan terutama golongan B40 untuk memperoleh pendapatan serta menimba kemahiran keusahawanan.

“Tempoh pelaksanaan program adalah selama 12 bulan yang akan melibatkan penyertaan seramai 140 peserta.

“Bagi tahun 2020, program ini dilaksanakan secara rintis dengan peruntukan sebanyak RM10 juta melibatkan dua buah negeri iaitu Sarawak dan Kedah,” ujar beliau yang juga MP Santubong.

Dalam pada itu tambah Wan Junaidi lagi, program ‘New Gen Entrepreneur Online Bootcamp(N-GENE)’ pula bertujuan untuk meningkatkan potensi kebolehpasaran dan membangunkan kemahiran keusahawanan dalam kalangan belia secara dalam talian dan bimbingan perniagaan selama 9 bulan.

Program ini dijangka bermula Ogos 2020 dan mensasarkan penyertaan seramai 2000 graduan, belia dan pelajar IPT serta Institusi Kemahiran Awam.-DayakDaily

Advertisement