Dengan 18 kita berjaya, bayangkan dengan 31 kerusi di Parlimen, kata Awang Tengah

Awang Tengah (tengah) bersama Rodiyah (dua dari kiri) dan yang lain melaungkan 'GPS Menang'.

Follow and subscribe to DayakDaily on Telegram for faster news updates.


Oleh Chris Bishop

SIMUNJAN, 13 Nov: Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan mahukan Gabungan Parti Sarawak (GPS) menang besar dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Justeru, beliau menggesa seluruh rakyat negeri ini memilih calon-calon GPS pada hari mengundi 19 November ini.

“Sebelum Parlimen dibubarkan, GPS mempunyai 18 kerusi dan wakil-wakil rakyat kita telah mencapai beberapa kejayaan.

“Kita mencapai kejayaan dengan memastikan kerajaan persekutuan membuat pindaan terhadap perlembagaan yang mengambil kira semangat Perjanjian Malaysia 1963 dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC),” katanya.

Awang Tengah berkata demikian di Majlis Simbolik Pelancaran Projek Komersial Simunjan dan Penyerahan Bantuan Kewangan SME di Esplanade Simunjan hari ini.

Tambah beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan, kejayaan itu diperolehi dengan hanya 18 kerusi dan bayangkan jika GPS menang semua 31 kerusi.

Katanya, dengan menyapu bersih semua kerusi suara Sarawak akan lebih kuat di Parlimen dengan perjuangan mendapatkan hak-hak dalam perlembagaan diteruskan.

“Dalam masa yang sama kita meneruskan perjuangan untuk mendapatkan hak-hak rakyat yang pernah ditidakkan oleh Pakatan Harapan (PH).

“Orang Sarawak berhak menerima lebih banyak peruntukan dari kerajaan persekutuan untuk kita mempercepatkan pembangunan.

“Kita berhak mendapat jalan raya yang lebih baik, jambatan, kita berhak untuk mengadakan sekolah yang lebih baik dan selesa, kemudahan kesihatan dan liputan sistem telekomunikasi,” kata Awang Tengah.

Hadir sama calon GPS bagi kerusi Parlimen P200 Batang Sadong Rodiyah Sapiee. — DayakDaily