DBKU: Tapak petak gerai jualan Bazar Ramadan disediakan di Satok, Semarak dan Sukma Ria

Seorang penjual sotong tutok di Bazar Ramadan Satok dibuka DBKU dua tahun lepas.

KUCHING, Mei 16: Sempena menyambut bulan Ramadan pada tahun ini, Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) telah menyediakan tapak petak gerai jualan Bazar Ramadan di tiga kawasan iaitu Satok, Semarak dan Sukma Ria yang akan bermula esok.

Jurucakap Bahagian Perhubungan Awam DBKU, Azlan Mohamed berkata Bazar Ramadan Satok akan mempunyai sebanyak 93 petak gerai, Bazar Ramadan Semarak (57 petak) dan Bazar Ramadan Sukma Ria (98 petak).

“Selain itu, DBKU juga telah memberi permit Bazar Ramadan di beberapa lokasi yang mana bazar ini diuruskan mereka (pemohon permit) sendiri,” katanya dalam satu kenyataan medianya, di sini, hari ini.


Azlan mendedahkan lokasi Bazar Ramadan yang diberikan permit itu ialah Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak@Menara SEDC, Isthmus di Jalan Bako yang mempunyai lima petak, Persatuan Pasar Malam (Benteng)@Bandar Baru Samariang Perkarangan Pasar Malam, Bandar Baru Samariang (20 petak), Pejabat FAMA Negeri Sarawak bersebelahan Tapak Pasar Tani Demak Laut (15 petak), Pejabat FAMA Negeri Sarawak di perkarangan tempat letak kereta, hadapan Blok C, Medan Niaga Satok (85 petak), Persatuan Penjaja Petra Jaya di tapak bangunan baru depan kedai Koo Cafe, Metro City (80 petak) dan Berambeh Ramadhan D’Mydin 2018 di tempat letak kereta MYDIN Petra Jaya (55 petak).

“Suka diingatkan, DBKU tidak membenarkan penggunaan bekas styrofoam (polystyrene) untuk membungkus makanan kerana ianya boleh mencemar makanan dan alam sekitar. Orang ramai juga disaran untuk membawa bekas makanan sendiri bagi tujuan membeli makanan untuk dibawa balik,” katanya.

Disamping itu, penjaja Bazar Ramadan Satok, Semarak dan Sukma Ria juga diingatkan supaya sentiasa mematuhi peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak DBKU dan Jabatan Kesihatan.

Azlan berkata penjaja turut dinasihatkan agar mengetahui sumber bekalan makanan yang diperolehi dan memastikan mereka yang terlibat dalam penyediaan makanan tersebut menggendalinya dengan baik serta sentiasa memberi perkhidmatan terbaik kepada pelanggan dan memastikan makanan yang dijual adalah bersih, sedap dan selamat untuk dimakan.

“Tapak Bazar Ramadan pada tahun ini yang disediakan untuk warga kota melibatkan jualan juadah yang terdiri daripada kuih-muih tradisional, kuih-muih moden, pelbagai jenis makanan/masakan (lauk pauk) dan minuman. Malah ada beberapa juadah yang dijual hanya pada bulan Ramadan sahaja, seperti bubur pedas, nasi hujan panas dan bubur syura,” katanya.

Penganjuran Bazar Ramadan ini diharap dapat menggalakkan dan memberi peluang bagi meningkatkan sosioekonomi para peniaga kecil terutamanya kepada peniaga Bumiputera dan sekaligus menggalakkan sektor pelancongan di mana ia mendapat kunjungan daripada pelancong dari dalam dan luar negeri bahkan mampu mempromosikan masakan tradisional Sarawak. — DayakDaily