KUCHING 26 Sept: Sebanyak 147 tapak jualan ditawarkan kepada penjaja di sepanjang Jalan Gambier pada 28 hingga 30 Oktober dan 4 hingga 6 November sempena Regatta Sarawak 2022.
Pengarah Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) Mohamed Khaidir Abang dalam kenyataan hari ini berkata, jualan tapak tersebut melibatkan empat kategori.
“Bayaran yang dikenakan untuk tempoh enam hari tersebut adalah sebanyak RM160 sepetak yang berukuran 10’ x 10’,” katanya.
Empat kategori tapak jualan ialah tekstil, aksesori dan permainan kanak-kanak yang menyediakan 60 tapak.
Kategori makanan dan minuman sebanyak 77 tapak, makanan (panggang) sebanyak 10 tapak dan food trak 5 buah tapak.
Tambah Mohamed, jualan petak akan diadakan pada 8 Oktober 2022 mulai jam 8:30 pagi di Auditorium DBKU di Bukit Siol, Jalan Semariang.
Katanya, semua petak jualan yang ditawarkan adalah atas dasar ‘First Come, First Serve.’
“Penjaja dikehendaki untuk datang sendiri dan mestilah membawa dokumen pemohon serta pekerja atau pembantu yang di perlukan,” ujar beliau.
Dalam kenyataan yang sama, Mohamed mengingatkan penjaja untuk mematuhi etika pengendalian makanan yang baik sejajar keperluan di bawah Akta Makanan 1983, Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 dan syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh pihak DBKU.
Manakala penggunaan bekas Styrofoam atau polisterin sebagai pembungkus makanan adalah tidak dibenarkan.
“Selain itu, aktiviti pengambilan sampel makanan juga akan dijalankan sepanjang pesta tersebut berlangsung bagi memastikan makanan yang dijual adalah bersih serta selamat untuk orang awam,” jelas Mohamed. – dayakdaily