KUCHING, 15 Nov: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) mempelawa orang ramai untuk mengisi kekosongan gerai di empat pusat penjaja di sekitar Kuching.
Pemangku Pengarah DBKU Mohamed Khaidir Abang dalam satu kenyataan hari ini berkata, ia melibatkan Pusat Penjaja Open Air Market, Tower Market, Pasar Maong Tengah dan Semarak.
Katanya, pemohon yang berminat dikehendaki untuk mengisi borang permohonan dan disertakan bersama beberapa dokumen.
“Selain borang permohonan, dokumen lain yang diperlukan adalah dua keping gambar berukuran pasport, satu salinan kad pengenalan, satu salinan sijil kursus pengendalian makanan dan satu salinan laporan pemeriksaan kesihatan,” katanya.
Permohonan yang telah lengkap diisi hendaklah dihantar ke Bahagian Pelesenan, Aras 1, DBKU@Depo, Jalan Depo selewat-lewatnya pada atau sebelum 26 November 2021.
Permohonan yang tidak lengkap atau memberi maklumat palsu akan ditolak dan hanya pemohon yang layak selepas disenarai tapis sahaja akan dipanggil untuk temuduga.
Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi Unit Pengurusan Lesen di talian 082-512955. — DayakDaily