KUCHING, 7 Dis: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) menyifatkan komen yang mengaibkan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di media sosial sebagai satu kenyataan palsu.
Justeru, Pemangku Pengarah DBKU Mohamed Khaidir Abang berkata, pihaknya akan membuat laporan polis berhubung perkara itu.
Komen daripada akaun Facebook atas nama ‘Shamsul Bohari’ itu juga akan dilaporkan kepada Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia(SKMM).
“Sepanjang pengetahuan DBKU, tidak pernah berlaku insiden amukan dan tidak pernah juga berlaku perampasan tender oleh Jaja Enterprise dan DBKU tidak pernah memberi apa-apa tender kepada Jaja Enterprise.
“Begitu juga tiada berlaku pelaporan kepada SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) oleh kakitangan DBKU mengenal individu yang dinyatakan dalam komen media sosial tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
DBKU juga turut menasihatkan warga bandaraya supaya tidak mempercayai dan menyebarkan komen palsu tersebut.
Komen ‘Shamsul Bohari’ itu menuduh Abang Johari berpindah kerusi DUN ke Gedong dari Satok pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini diatas pelbagai sebab. — DayakDaily