DBKU: Bayaran tapak bazar Ramadan dipulangkan kepada 144 peniaga

A file photo of Chief Minister Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg visiting stalls and traders at the Satok Ramadan Bazaar.
Advertisement

KUCHING, 12 April: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) akan membuat pembayaran balik bagi pembelian tapak bazar Ramadan kepada seramai 144 orang peniaga.

Pengarah DBKU Dr Morshidi Ahmad berkata pembayaran balik akan dibuat melalui “online transfer” (perbankan atas talian).

“Kerajaan negeri Sarawak telah memutuskan bahawa penganjuran bazar Ramadan pada tahun ini dibatalkan bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Advertisement

“Sehubungan itu, pembayaran balik bagi pembelian tapak bazar Ramadan akan dibuat melalui online transfer yang melibatkan seramai 144 orang peniaga,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Justeru, tambah beliau, para peniaga dikehendaki untuk mengemukakan dokumen kepada pegawai Bahagian Pelesenan, iaitu Razman Salleh di talian 013-5656844 (Tapak Satok) dan Flora di talian 014-8935046 (Tapak Semarak) selewat-lewatnya sebelum atau pada 17 April, 2020.

Antara dokumen yang diperlukan adalah resit pembayaran tapak bazar ramadan dan muka depan buku bank atau muka surat pertama penyata akaun bank atas penama resit pembayaran.

Dalam pada itu, Morshidi menyeru peniaga bazar ramadan pada tahun ini dapat meneruskan perniagaan mereka secara atas talian.

“Peniaga boleh menggunakan platform sedia ada seperti ‘self-collect’ (bawa pulang), khidmat penghantaran melalui runner ataupun aplikasi penghantaran seperti Grab Food, Food Panda, Helpy Service dan lain-lain.

“DBKU juga berharap peniaga makanan sentiasa mengamalkan tahap kebersihan diri yang tinggi dan pengendalian makanan yang baik agar makanan yang dijual adalah selamat dan bersih serta bebas dari segala kemungkinan yang boleh menyebabkan penyakit bawaan makanan dan minuman seperti keracunan makanan,” katanya.

Selain itu ujar beliau lagi, sebarang penggunaan bekas polystyrene tidak dibenarkan.

DBKU turut menyarankan agar “runner” yang terlibat dalam perkhidmatan penghantaran mengamalkan langkah-langkah keselamatan diri seperti memandu/menunggang kereta atau motosikal dengan cermat dan berhemah.

Tambah Morshidi, “runner” digesa mengambil langkah-langkah pencegahan Covid-19 seperti memakai topeng muka, sentiasa mencuci tangan dengan hand sanitiser dan mengamalkan contactless (tidak bersentuhan) delivery.

Mereka juga harus mematuhi jarak sosial 1 meter di antara satu sama lain dan meletakkan pesanan makanan di dalam bekas yang disediakan khas oleh pelanggan. — DayakDaily

Advertisement