Datuk lemas, cucu selamat apabila bot mereka dipukul ombak besar

Pasukan SAR membawa mayat mangsa ke jeti Kompleks Maritim Tun Abang Salahuddin, Muara Tebas.

KUCHING, Dis 21: Seorang nelayan lemas, manakala cucunya selamat selepas bot yang dinaiki mereka karam dipukul ombak besar di perairan Tanjung Po di sini semalam.

Insiden kira-kira pukul 10 pagi itu telah mengakibatkan mangsa, Mohd Hassan Abdullah, 59, lemas, manakala cucunya, Syed Aiman Syed Ridzuan, 14, berjaya diselamatkan nelayan lain yang kebetulan berada berhampiran tempat kejadian.

Pegawai Operasi Maritim Wilayah Sarawak, Che Mohd Hafizuddieen Che Mahadi berkata, satu laporan kecemasan telah diterima oleh Pusat Operasi Maritim Wilayah Sarawak pada pukul 10.45 pagi berhubung kejadian sebuah bot nelayan tradisional tempatan telah karam di Tanjung Po.


Menurutnya, berdasarkan laporan diterima, terdapat dua mangsa di dalam bot tersebut dan salah seorang telah diselamatkan oleh nelayan lain yang berada berhampiran tempat kejadian.

“Manakala seorang lagi mangsa iaitu Mohd Hassan dilaporkan hilang dibawa ombak besar. Kedua-dua mangsa berasal dari Kampung Muara Tebas di sini,” katanya ketika dihubungi semalam.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, sejurus aduan diterima, sebuah bot pengawal maritim telah digerakkan ke tempat kejadian dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di laut telah diaktifkan.

Katanya, dua buah bot nelayan tempatan turut membantu Maritim Malaysia dalam operasi SAR itu.

“Hasilnya, pada pukul 11.40 pagi, mayat mangsa berjaya ditemui pada jarak lebih kurang 8 batu nautika dari Muara Tebas.

“Mayat mangsa sudah dibawa ke jeti Kompleks Maritim Tun Abang Salahuddin, Muara Tebas sebelum diserahkan kepada pihak polis,” katanya.

Sambil menambah, beliau berkata, operasi SAR telah ditamatkan pada pukul 1.00 petang

“Maritim Malaysia juga ingin menasihatkan seluruh komuniti maritim khususnya para nelayan agar mengambil berat terhadap keselamatan diri sebelum keluar ke laut terutamanya pada musim tengkujuh ini.

“Periksa dahulu keadaan angin dan ombak di laut, pakai jaket keselamatan dan bawa pelampung keselamatan di dalam bot jika perlu sebagai langkah berjaga-jaga di musim tengkujuh ini.

“Jika terdapat sebarang kemalangan atau kejadian kecemasan di laut Sarawak, hubungi talian hotline 24-jam Pusat Operasi Maritim Wilayah Sarawak (082-432544) atau talian kecemasan 999 agar tindakan segera dapat diambil oleh Maritim Malaysia,” katanya lagi. — DayakDaily