KOTA SAMARAHAN, 6 Jan: Seorang lelaki warga emas bersama cucu perempuannya yang dilaporkan hilang di hutan Kampung Binyuk ditemui dalam keadaan selamat selepas hampir 10 jam pencarian.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata, kedua-dua mangsa berusia 71 dan 12 tahun ditemui selamat kira-kira jam 2.43 pagi.
Menurutnya, laporan kehilangan mangsa dibuat sekitar jam 7.13 malam kerana masih belum pulang selepas ke hutan untuk mencari buah asam paya.
Katanya juga, si cucu pada awalnya dapat dihubungi namun terputus talian akibat telefon mangsa kehabisan bateri.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan selepas laporan diterima dan pasukan operasi turut melaporkan ketika pencarian telah terdengar suara mangsa menjerit namun gagal mengesan kedudukan sebenar mereka di hutan.
“Pada jam 2.43 pagi, pasukan SAR telah berjaya menjumpai mangsa dalam keadaan selamat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Operasi SAR ditamatkan pada jam 3.35 pagi.
Turut hadir ke lokasi kejadian Ahli Parlimen Kota Samarahan Rubiah Wang dan Ahli Dewan Undangan Negeri Stakan Datuk Hamzah Ibrahim. — DayakDaily