Dasar menyewa tanah kerajaan untuk kegiatan pertanian akan dilaksanakan

Golongan muda di negeri ini yang berminat menceburi kegiatan pertanian.
Advertisement

KUCHING, Jan 25: Kerajaan negeri akan melaksanakan dasar pertanian baru yang tidak lagi memberikan terlebih dahulu tanah milik kerajaan kepada penduduk negeri ini yang mahu berkecimpung dalam kegiatan pertanian tetapi menyewakan tanah terbabit kepada mereka selama lima atau enam tahun.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata hanya sekiranya penduduk terbabit memang benar telah mengusahakan tanah milik kerajaan dengan sebaiknya dengan kegiatan pertanian dalam tempoh lima hingga enam tahun menyewanya barulah tanah tersebut akan diserahkan hak miliknya kepada mereka.

“Dasar ini adalah kerana kadang-kadang setelah tanah milik kerajaan itu diberikan (kepada penduduk negeri ini bagi menceburi pertanian), hak milik tanah terbabit akan bertukar tangan dalam masa tiga hingga lima tahun atau dengan segera dijual mereka kepada orang lain,” katanya ketika merasmikan Majlis Perasmian Persidangan Ketua Masyarakat Mengenai Pemakai Menoa Dan Pulau Galau, di sini, semalam.

Advertisement

Abang Johari berkata dari pengalaman kerajaan negeri, penduduk yang sudah menjual tanah diberikan kerajaan terbabit akan memohon diberikan lagi tanah itu dengan alasan tidak ada tanah bagi menceburi kegiatan pertanian dan kemudian akan memburukkan kerajaan negeri yang tidak mahu memberikan mereka lagi tanah milik kerajaan.

“Ini terutamanya memburukkan kerajaan negeri dalam laman sosial; sebab itulah kini penduduk negeri ini boleh memohon tanah milik kerajaan bagi menjalankan kegiatan pertanian dengan menanam apa sahaja tanaman, tetapi tanah terbabit perlu terlebih dahulu disewa mereka,” katanya.

Beliau berkata berikutan dasar baru terbabit, kerajaan negeri telah menubuhkan kawasan “Agro Park” yang akan menjadi tempat bagi penduduk tempatan yang tiada tanah dapat menyewa tanah kerajaan bagi menjalankan kegiatan pertanian. — DayakDaily

Advertisement