Darul Hana: Pampasan perpindahan dan geran tanah diserahkan 22 Ogos

Dr Abdul Rahman ketika di temui hari ini.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 1 Ogos: Bayaran pampasan perpindahan dan geran tanah akan diserahkan kepada kumpulan pertama ketua isi rumah (KIR) yang akan berpindah ke Skim Penempatan Semula Darul Hana pada 22 Ogos ini.

Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Utiliti) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, ia akan diserahkan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.


Menurut Dr Abdul Rahman, kumpulan pertama ini melibatkan 337 KIR dari Kampung Panglima Seman Lama, Kampung Semarang dan Kampung Lot Tambahan.

“Seperti yang kita sudah putuskan di peringkat pengurusan pembangunan Darul Hana bahawa tarikh 22 Ogos 2022 akan menjadi tarikh penting untuk masyarakat yang tinggal di Seberang Hilir.

“Ini adalah kerana ia merupakan hari perpindahan kumpulan pertama masyarakat di kampung berkenaan ke kawasan pembangunan Darul Hana.

“Sejumlah 337 ketua isi keluarga akan menjadi kumpulan pertama yang akan berpindah ke rumah baharu yang telah dibina di kawasan Darul Hana,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Program Seminar Zakat yang diadakan di Universiti Malaysia Sarawak di sini, hari ini.

Tambah Dr Abdul Rahman, semua KIR ini telah melakukan cabutan undi bagi rumah masing-masing pada dua bulan yang lepas dan bersedia untuk berpindah.

Katanya, semua kemudahan asas seperti bekalan air dan elektrik telah tersedia di Darul Hana dan tiada keperluan untuk memohon utiliti tersebut.

Mengulas lanjut, Dr Abdul Rahman berkata kumpulan kedua yang melibatkan Kampung Panglima Seman Ulu, Kampung Pulo Hilir dan Kampung Pulo Hulu akan berpindah setelah pembinaan rumah baharu siap nanti.

“Pada masa sekarang pembinaan sedang giat dijalankan dan kita harap dapat disiapkan dalam tempoh 2 tahun ini.

“Kita anggarkan memerlukan tempoh antara 8 hingga 10 tahun untuk semua kampung berpindah ke kawasan Darul Hana,” ujar Dr Abdul Rahman. — DayakDaily