DAPSY Kebangsaan kecam tindakan pensyarah hina mahasiswa

Dr Kelvin Yii

KUCHING, 30 Mac: DAPSY Kebangsaan mengecam sekeras-kerasnya tindakan pensyarah sebuah universiti yang telah menghina dan bersikap kurang sopan terhadap seorang mahasiswa UiTM Seri Iskandar, Perak.

Ketua DAPSY Kebangsaan Dr Kelvin Yii berkata, kelakuan ahli akademik tersebut tidak harus dipandang rendah malah tidak harus dipertahankan.

“Sebagai seorang ahli akademik atau pensyarah, beliau sepatutnya lebih bersimpati dan memahami keadaan mahasiswa tersebut.


“Beliau sepatutnya berusaha untuk membantunya, bukan memperli atau menghinanya kerana tidak mempu memiliki sebuah computer riba,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Satu klip video telah tular di media sosial baru-baru ini yang melibatkan seorang ahli akademik menghina dan bersikap kurang sopan terhadap seorang mahasiswa yang difahamkan telah tamat pengajian di UiTM Seri Iskandar, Perak.

Tambah Dr Yii yang juga MP Bandar Kuching, pensyarah tersebut haruslah ada sifat kemanusiaan untuk mendidik dan memastikan seseorang mahasiswa tersebut dapat merealisasikan potensinya.

Dalam pada itu, Dr Yii mahukan pihak universiti mengambil tindakan sewajarnya termasuk menggantung sementara pensyarah terbabit sehingga siasatan dijalankan.

Namun katanya, isu pokok haruslah ditangani secara holistik oleh pihak kerajaan iaitu untuk memastikan setiap mahasiswa dan pelajar universiti mampu memiliki laptop atau computer riba sendiri.

“Kerajaan seharusnya ada polisi yang holistik untuk memastikan setiap mahasiswa di Malaysia yang tidak mampu terutamanya dari golongan B40 untuk mendapatkan sebuah laptop atau alat peranti yang diperlukan.

“Ini bagi memastikan mereka tidak ketinggalan berbanding dengan mahasiswa-mahasiswa lain yang mungkin mampu memiliki komputer riba tersendiri,” katanya.— DayakDaily