DAP Sarawak: Segerakan pembinaan jalan akses di selatan KIA

Chong (tengah) menunjukkan pelan projek di sidang media di Kuching. Turut kelihatan Adun Pending, Violet Yong (kiri).
Advertisement

Oleh Chris Bishop

KUCHING, Ogos 4: Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak menggesa Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak mempercepatkan projek pembinaan jalan akses di kawasan selatan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA).

Menurut Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen, projek yang bernilai RM129 juta itu telah diluluskan kerajaan pusat dan Kementerian Kewangan telah memperuntukkan RM20 juta pada tahun ini.

Advertisement

“Saya ingin menarik perhatian JKR Sarawak agar mempercepatkan pembinaan jalan ini.

“Setakat ini saya belum mendengar tender projek ini telah dikeluarkan dan jikalau tidak, peruntukkan tersebut akan dikembalikan,” katanya.

Beliau berkata demikian di satu sidang media di Ibupejabat DAP Sarawak di Kuching, hari ini.

Chong yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mahukan projek tersebut diberi keutamaan oleh JKR Negeri.

Katanya, projek itu mampu menyelesaikan masalah kesesakan trafik yang berlaku di Batu 6, Batu 7 dan Batu 8 pada masa sekarang.

“Dengan terbinanya jalan ini nanti, kesesakan trafik dapat dileraikan dan pengguna tidak membuang masa yang lama di jalanraya,” ujar beliau.

Beliau yang juga MP Stampin dan Adun Kota Sentosa berkata JKR di peringkat pusat hanya melakukan kerja seliaan terhadap projek tersebut dan perlaksanaannya dilakukan JKR negeri.

Projek tersebut melibatkan pembinaan tiga jalan iaitu jalan baharu 4-lorong-2-hala sepanjang 2.25km menghubungkan jalan utama kawasan Stutong ke Sg Tapang.

Ianya termasuk pembinaan dua jambatan konrit merentasi Sg Sangkoh dan Sg Semengo.

Kedua, menaiktaraf jalan 2-lorong-2-hala sedia ada sepanjang 4.54km dan ketiga, pembinaan jalan baharu 4-lorong-2-hala sepanjang 0.52km ke persimpangan utama Batu 7, Kota Sentosa.

Advertisement