DAP Sarawak cadang tulisan khat, Jawi menjadi silibus pilihan di sekolah jenis Cina Sarawak

Chong Chieng Jen

Oleh Chris Bishop

KUCHING, Ogos 4: Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak mencadangkan agar seni khat tulisan Jawi menjadi silibus pilihan di sekolah jenis Cina di Sarawak.

Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen berkata cadangan tersebut akan dibawa ke mesyuarat kabinet pada minggu hadapan.

“Berhubung isu penggunaan seni khat dan tulisan jawi dalam matapelajaran Bahasa Melayu Tahun Empat, DAP Sarawak mengambil kira suara majoriti rakyat Sarawak.

“DAP Sarawak akan membawa suara majoriti terutamanya dari komuniti Cina ini ke perhatian kabinet,” katanya di sidang media di Ibupejabat DAP hari ini.

Tambah Chong, usaha memperkenalkan penggunaan tersebut adalah untuk meningkatkan persefahaman diantara murid-murid berbilang kaum di negara ini.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menegaskan yang Sarawak harus memiliki kuasa autonomi berkaitan pendidikan.

“Ini termasuk kuasa autonomi dalam menentukan silibus di sekolah, pembinaan sekolah, penempatan tenaga pengajar dan pengurusan sekolah.

“Walaupun cadangan mendapatkan kuasa autonomi perihal pendidikan di tolak Gabungan Parti Sarawak (GPS), ianya tetap akan menjadi agenda DAP Sarawak sekiranya berkuasa kelak,” ujar Chong yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sarawak.

Semalam pada sidang media di Melaka, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan penggunaan tulisan khat dan Jawi dalam matapelajaran Bahasa Melayu Tahun Empat kekal dan diteruskan. — DayakDaily