DAP cuba putarbelitkan fakta untuk tutup kegagalan tunaikan janji — Gerald Rentap

Gerald Rentap Jabu
Advertisement

KUCHING, 29 Oktober: Pengerusi Pemuda Gabungan Parti Sarawak (GPS) Gerald Rentap Jabu percaya pemimpin DAP cuba memutarbelitkan fakta pada konvensyen parti itu di Miri, Sabtu lepas.

Ini adalah untuk menutup kegagalan mereka dalam menunaikan janji kepada rakyat Sarawak seperti termaktub di dalam Manifesto Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU-14), dakwa beliau menerusi kenyatan media hari ini.

“Ini termasuklah menuduh GPS sebagai tidak menyokong pindaan Perlembagaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bagi memberikan status sama rata kepada Sabah dan Sarawak dengan Semenanjung Malaysia.

Advertisement

“Ingin saya ingatkan sekali lagi bahawa hakikat sebenar GPS berkecuali dalam pengundian Rang Undang-Undang (RUU) pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan kerana pindaan tersebut tidak mengambil kira cadangan kerajaan negeri Sarawak,” katanya.

Tambah Gerald lagi, MA63 langsung tidak disebut dalam perlembagaan tersebut, walhal itulah asas kepada penubuhan Malaysia.

“MA63 hanya disebut dalam ‘footnote’ yang tidak membawa apa-apa kesan dari segi perundangan. Kita pun sebenarnya harap sangat perkara ini diluluskan seperti yang dicadangkan GPS,” ujarnya.

Mengulas isu yang sama, beliau berkata ketua menteri Sarawak (Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg) sentiasa memberi tumpuan pada setiap langkah yang diambil dan kesannya nanti.

Atas sebab itu, kata Gerald, Sarawak mengambil langkah berhati-hati dalam setiap keputusan terutamanya melibatkan isu kepentingan rakyat Sarawak dan GPS ada pendirian kukuh dalam soal pindaan Perlembagaaan Persekutuan. — DayakDaily

Advertisement