Dakwaan ada usaha jatuhkan Kerajaan Perpaduan tidak boleh dipercayai, kata TPM Fadillah

Kelihatan Fadillah pada sidang media di Kuching.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 25 April: Tiada cubaan untuk menjatuhkan kerajaan Perpaduan pada masa ini, kata Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof.

Menurut beliau, sebarang dakwaan bahawa wujudnya cubaan tersebut merupakan berita yang tidak boleh dipercayai.


“Tiada cubaan, saya tidak tahu, sebab itu saya tidak mahu komen, untuk apa saya komen kepada berita yang tidak boleh dipercayai.

“Kita (kerajaan) fokus bekerja untuk memastikan Malaysia kembali ke kedudukan tertinggi seperti dahulu,” katanya di sidang media di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri beliau di Petra Jaya di sini, hari ini.

Fadillah yang juga Menteri Perladangan Dan Komoditi ditanya berhubung laporan sebuah berita portal bahawa terdapat cubaan baharu menjatuhkan kerajaan melalui pilihan raya kecil.

Portal terbabit mendakwa, beberapa Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) kini dipujuk oleh individu penting tertentu untuk mengambil bahagian dalam “misi do-or-die” untuk keluar parti.

Mereka kemudiannya akan bertanding semula di kerusi terbabit di bawah logo parti pembangkang.

Mengikut undang-undang anti-lompat parti, mana-mana Ahli Parlimen yang meletak jawatan atau keluar parti akan kehilangan kerusi di Dewan Rakyat sekali gus memaksa pilihan raya kecil dilaksanakan untuk mengisi kekosongan. — DayakDaily