Dadah bernilai lebih RM420,000 dirampas di Miri

Mancha menunjukkan serbuk campuran yang digunakan untuk memproses dadah.

KUCHING, 24 Jan: Sebuah apartmen disyaki dijadikan tempat memproses dan membungkus dadah di Taman Piasau Indah, Miri diserbu pada 19 Januari, baru-baru ini.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato Mancha Ata berkata serbuan dilakukan selepas seorang lelaki dipercayai pengedar dadah ditangkap dan didapati memiliki 54.7 gram dadah jenis campuran Ekstasi.

Katanya, pemeriksaan ke atas apartmen tersebut yang dipercayai didiami suspek terbabit telah menemui beberapa peralatan serta pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM152,700.


“Modus operandi mendapati suspek menggunakan apartmen tersebut sebagai tempat memproses dan membungkus dadah.

“Suspek memperolehi bekalan dadah dari rakan sejenayahnya di Miri dan kemudian memproses serta membungkus dadah tersebut dalam paket ‘juice master’ sebelum mengedarnya di sekitar Miri,” katanya dalam sidang media, di sini hari ini.

Tambahnya, suspek warga tempatan berusia 26 tahun terbabit menerima upah sebanyak RM1,000 seminggu untuk kerja-kerja tersebut.

“Ujian saringan awal air kencing juga mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamkne dan amphetamine.

“Suspek juga mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan perjudian,” katanya.

Sementara itu, pada 21 Januari, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) IPD Miri menangkap seorang lelaki berusia 26 tahun di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Miri sekitar jam 9 pagi.

Menurutnya, suspek ditangkap bersama bagas yang di dalamnya mengandungi 8,200 gram dadah disyaki syabu dianggarkan bernilai RM273,900.

“Modus operandi mendapati suspek membawa masuk dadah dari Semenanjung Malaysia ke Miri melalui udara dengan upah RM8,000.

“Suspek diarahkan membawa dadah tersebut ke Sabah,” kata Mancha.

Suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut dan saringan awal air kencing juga mendapati dia positif dadah.

Kedua-dua suspek yang ditangkap dalam operasi tersebut disiasat dj bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Jika disabitkan kesalahan, individu boleh dihukum mati atau dipenjara seumur hidup dan jika tidak dihukum mati, hendaklah dihukum dengan sebatan tidak kurang 12 kali.

JSJN Sarawak akan meneruskan siasatan untuk mengesan saki baki sindiket yang terlibat.

Masyarakat yang mempunyai maklumat berkaitan boleh menyalurkannya dengan menghubungi talian hotline JSJN (012-2087222). — DayakDaily