Cubaan wanita cuba bunuh diri digagalkan pasukan bomba

Kelihatan seorang wanita yang cuba membunuh diri berjaya dipujuk oleh pasukan bomba.

SARIKEI, Okt 2: Pasukan bomba dan penyelamat berjaya memujuk seorang wanita yang dipercayai cuba membunuh diri dengan terjun dari sebuah pasar raya di sini hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei, Suna Kaha berkata, sebelum itu, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada pukul 3.44 petang.

Jelasnya, berdasarkan maklumat diterima mengatakan terdapat seorang wanita berusia 28 tahun cuba terjun dari tingkat satu bangunan pasar raya berkenaan.


“Sejurus itu sepasukan anggota bomba kemudian bergegas ke lokasi untuk tindakan susulan.

“Apabila tiba di pekarangan pasar raya itu, pasukan bomba mendapati seorang wanita dalam keadaan cuba untuk terjun dari bangunan berkenaan,” katanya di sini hari ini.

Suha menambah, tindakan pantas anggota bomba memujuk wanita berkenaan dalam tempoh lima minit kemudiannya berjaya membatalkan niat wanita itu untuk membunuh diri dengan terjun dari bangunan pasar raya tersebut.

Katanya, selepas berjaya memujuk wanita berkenaan, dia kemudian diserahkan kepada petugas perubatan untuk tindakan selanjutnya.

“Operasi tamat sepenuhnya apabila keadaan fikiran wanita berkenaan kembali stabil,” katanya. — DayakDaily