Covid-19: SLTA dinasihatkan buat rayuan kepada JPBNS untuk membenarkan pemain China masuk Sarawak

Abdul Karim (duduk tiga dari kiri) bersama Presiden SLTA, Datuk Patrick Liew (duduk dua dari kiri) dan ahli-ahli persatuan itu ketika mengadakan sidang media mengenai pertandingan tenis Piala Ketua Menteri Sarawak Ke-35, Piala Junior Davis serta Piala Junior Fed di pejabatnya, Bangunan Baiktulmakmur.
Advertisement

KUCHING, Feb 18: Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan meminta Persatuan Tenis Lawn Sarawak (SLTA) berusaha merayu kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) bagi membenarkan pemain tenis dari China memasuki negeri ini.

Menterinya, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah mendedahkan demikian berikutan SLTA akan menganjurkan tiga pertandingan tenis antarabangsa mulai bulan depan, tetapi Sarawak melalui JPBNS baru-baru ini memutuskan menyekat kemasukan rakyat China ke negeri itu bagi membendung penularan Covid-19.

“Mungkin JPBNS perlu melihat ini, tetapi saya tidak boleh memutuskan tentang ini. Ianya perlu ada rayuan tertentu dilakukan dan nama (pemain tenis dari China) diberikan kepada kerajaan negeri bagi ada pengecualian kepada mereka,” katanya mengadakan sidang pertandingan tenis Piala Ketua Menteri Sarawak Ke-35, Piala Junior Davis serta Piala Junior Fed di pejabatnya, Bangunan Baiktulmakmur, di sini, hari ini.

Advertisement

Abdul Karim berkata pertandingan tenis Piala Ketua Menteri Sarawak Ke-35 bakal disertai keseluruhannya seramai 150 pemain tenis dari 37 negara termasuk seramai 11 pemain tenis dari China di Pusat Persatuan Tenis Lawn Sarawak, di sini, dari Mac 10 hingga 15 depan.

Manakala pertandingan tenis Piala Junior Davis By BNP Paribas (April 5-10 depan) dan Piala Junior Fed By BNP Paribas (Mac 30-April 4) di tempat sama akan disertai seramai 32 pemain tenis dari 16 negara termasuk dari China.

“Kalau mereka (pemain tenis dari China) tidak dapat datang (ke Sarawak) menyertai tiga pertandingan tenis ini, mereka tidak akan berpeluang memasuki pusingan akhirnya,” katanya.

Beliau berkata Sarawak tidak boleh terlebih cemas dan tiga pertandingan tenis antarabangsa terbabit termasuk perlumbaan larian lasak Spartan Race bakal disertai 2,000 peserta termasuk dari China April depan perlu diteruskan di negeri ini.

“Sememangnya kerajaan negeri juga amat berwaspada (dengan Covid-19), sebab itu kamu melihat di semua pintu masuk samada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri, langkah sudah diambil bagi memastikan virus itu tidak masuki negeri ini,” katanya.

Abdul Karim berkata pemain tenis dari China sekiranya memasuki negeri ini juga akan melalui proses pemeriksaan ketat kesihatan di lapangan terbang berkenaan dan mereka tidak dibenarkan memasuki ke negeri ini sekiranya dikesan mengalami demam atau batuk. — DayakDaily

Advertisement