Covid-19: Polis pantau pergerakan keluar masuk warga Kalimantan di Serikin

Poje ketika ditemui pemberita di lokasi sekatan berhadapan Balai Polis Serikin.
Advertisement

Oleh Chris Bishop

BAU, 21 Mac: Sekatan jalanraya diadakan berhadapan Balai Polis Serikin untuk mencegah pergerakan keluar masuk warga Kalimantan, Indonesia.

Ketua polis daerah Bau, DSP Poge Nyaon, berkata sekatan juga bertujuan untuk memastikan penduduk sekitar mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Advertisement

”Ini merupakan sebahagian daripada tindakan yang kita ambil untuk mengekang penularan wabak Covid-19.

“Pada pagi ini dan esok, kita mengadakan sekatan jalanraya di Serikin yang bertujuan untuk mengawal kenderaan keluar dan masuk sama ada dari Malaysia atau Kalimantan.

“Seperti yang kita sedia maklum, pasar Serikin merupakan pusat tumpuan beli-belah, terutamanya di hujung minggu,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi sekatan hari ini.

Tambah beliau, pihak polis akan menasihati orang ramai agar mematuhi PKP dan duduk di rumah kerana pasar Serikin ditutup sehingga 31 Mac.

Katanya, lebih 250 gerai menjual pelbagai barangan di pasar tersebut telah diarah tutup mulai 18 Mac lepas.

Menurut beliau lagi, pihak tentera sama ada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Tentera Nasional Indonesia (TNI) turut mengadakan kawalan dan sekatan di sempadan Serikin.

“Pada 19 Mac lepas, saya telah berjumpa dengan pegawai ATM di sempadan dan mereka akur arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk tidak membenarkan rakyat Malaysia dan Indonesia keluar masuk.

“Saya juga telah berjumpa dengan pegawai TNI di sempadan dan mereka pun tidak membenarkan rakyat Indonesia masuk ke Serikin,” katanya.

Di samping itu, tambah Poje, polis dari unit MPV akan terus membuat rondaan dari semasa ke semasa untuk memastikan penduduk di sekitar Serikin mematuhi perintah PKP.

Selain ATM katanya, pihak polis juga dibantu anggota dari Pasukan Gerakan Am (PGA) dan anggota Rela. — DayakDaily

Advertisement