Covid-19: Malaysia rekod 3,309 kes baharu, tertinggi setakat ini

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

KUCHING, 12 Jan: Malaysia merekodkan kes positif baharu Covid-19 harian tertinggi hari ini dengan 3,309 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia melibatkan 3,303 kes tempatan dan enam kes import.

“Kes positif terkini itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif adalah sebanyak 141,553 kes.


“Dengan itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah sebanyak 30,390 kes,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 1,007 kes. Ini diikuti oleh Johor dengan 442 kes dan Sabah dengan 409 kes.

Tambah Dr Noor Hisham, terdapat sebanyak 1,469 kes pulih dan dibenarkan discaj menjadikan jumlah kumulatif kes pulih adalah 110,584 kes atau 78.1 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Sehingga kini, terdapat 190 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) termasuk 83 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan terdapat pertambahan empat kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes berkenaan 559 kes.

“Dukacita dimaklumkan terdapat empat kes kematian dilaporkan hari ini melibatkan semua kes warganegara.

“Tiga kes kematian dilaporkan di Selangor dan satu kes di Perak. KKM mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mangsa,” ujar beliau.

Beliau turut memaklumkan bahawa terdapat 11 kluster baharu telah dikenal pasti pada hari ini. — DayakDaily