Covid-19: Kluster Sentosa dikenal pasti kluster baharu, 7 individu sembuh dan 15 kes baharu

Dr Noor Hisham Abdullah. (gambar fail)

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 21 JULAI: Kementerian Kesihatan Malaysia telah mengenal pasti satu kluster baharu di Sarawak, dikenali sebagai kluster Sentosa.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes pertama kluster ini ialah kes ke-8,773 yang merupakan seorang petugas kesihatan.

Katanya, kes telah mengalami gejala saluran pernafasan pada 13 Julai 2020 dan dikesan positif Covid-19 pada 19 Julai 2020.

“Susulan itu, siasatan dan aktiviti pengesanan kes secara aktif telah dijalankan dan sehingga 21 Julai 2020 jam 12 tengahari, 61 orang telah disaring dimana 5 kes didapati positif Covid-19 dan 56 adalah negatif.

“Ini menjadikan kluster ini memiliki 6 kes iaitu 5 kes petugas kesihatan dan 1 kes pekerja syarikat pembersihan.

Punca jangkitan kluster masih dijalankan,” katanya pada sidang media hari ini.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham memaklumkan bahawa terdapat 7 kes yang telah pulih Covid-19 dan dibenarkan discaj di seluruh negara pada hari ini.

Menurut beliau, ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang pulih sepenuhnya dari jangkitan Covid-19 dan discaj dari wad meningkat kepada 8,562 kes.

Katanya, ia bersamaan 97.10 peratus daripada jumlah keseluruhan kes positif Covid-19.

“Sehingga 21 Julai 2020 pukul 12:00 tengah hari, terdapat 15 kes baharu yang telah dilaporkan, ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 8,815 kes.

“Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 meningkat kepada 130 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan,”katanya pada sidang media hari ini.

Tambah Dr Noor Hisham, daripada 15 kes baharu, 11 adalah penularan
tempatan manakala 4 kes import yang mendapat jangkitan di luar negara yang melibatkan 3 warganegara dan seorang bukan warganegara.

Daripada 11 kes penularan dalam negara katanya, 10 kes adalah di kalangan warganegara dan 1 kes ialah bukan warganegara.

“Sehingga kini terdapat 4 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi(ICU) dan 1 kes memerlukan bantuan pernafasan,’ujar beliau.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan bahawa tiada kematian dilaporkan ke PusatKesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan(CPRC) hari ini.

Justeru katanya, jumlah kumulatif kes kematian di Malaysia kekal 123 kes iaitu bersamaan dengan 1.40 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.-DayakDaily