Covid-19: KKM lakukan kajian Fasa 3 Vaksin

Dr Noor Hisham fielding questions from the press.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, MEI 2: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan melaksanakan Fasa 3 kajian vaksin Covid-19 setelah kajian Fasa 2 selesai pada bulan November atau Disember.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kajian Fasa 3 itu nanti akan melihat kepada keberkesanan vaksin tersebut di dalam badan manusia.


“Memang betul negara China telahpun berbincang dengan Kementerian Kesihatan mengenai isu vaksin dan kajian mereka setakat ini telah memasuki fasa 2.

“Mereka akan selesai kajian Fasa 2 mungkin dalam bulan November ataupun Disember.

“Apabila selesai Fasa 2, kita akan laksanakan Fasa 3 iaitu melihat kepada keberkesanan vaksin tersebut di dalam badan manusia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media harian berkaitan Covid-19 di Putrajaya hari ini.

Tambah Dr Noor Hisham, pelaksanaan kajian tersebut telah dibincangkan bersama China dalam dua sidang video yang lepas.

Katanya, mereka(China) telah bersetuju Malaysia dijadikan sebagai negara yang melakukan penyelidikan kajian Fasa 3.

“Kita tunggu keputusan laporan ujian Fasa 2 dahulu sebelum kita boleh teruskan ke Fasa 3,” ujar beliau lagi.

Sebelum ini, dilaporkan seorang penyelidik di Beijing sedang menjalankan eksperimen ke atas vaksin dihasilkannya, iaitu “Coronavac” bagi merawat wabak Covid-19 yang menyerang hampir seluruh dunia.

Pada sidang media itu, Dr Noor Hisham mengesahkan bahawa China pada masa kini sedang menghasilkan vaksin Covid-19 secara besar-besaran dan telahpun menunjukkan perkembangan yang baik.—DayakDaily.