Covid-19: Kes baharu kembali satu angka dengan satu lagi kematian

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah
Advertisement

Oleh Chris Bishop

KUCHING, Jun 14: Kes baharu Covid-19 di Malaysia kembali mencatat satu angka setelah lapan kes dilaporkan hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 8,453 kes.

Advertisement

Hari ini, tambah beliau, terdapat 35 kes yang telah pulih Covid-19 dan dibenarkan discaj.

“Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang pulih sepenuhnya daripada jangkitan Covid-19 dan discaj dari wad adalah sebanyak 7,346 kes.

“Ia bersamaan 86.90 peratus daripada jumlah keseluruhan kes positif Covid-19.

“Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 telah kurang daripada 1,000 kes iaitu 986 kes dan mereka telah diasingkan dan diberi rawatan di hospital,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di Putrajaya hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata daripada lapan kes baharu tersebut, dua kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara dan melibatkan bukan warganegara yang merupakan permaustautin tetap.

Daripada enam kes penularan dalam negara, empat kes adalah bukan warganegara manakala dua kes adalah dikalangan warganegara Malaysia.

”Kesemua empat kes jangkitan dalam negara di kalangan bukan warganegara adalah daripada kluster tapak pembinaan Kuala Lumpur dua yang melibatkan warga negara Bangladesh.

“Dua kes dikalangan warganegara ialah satu kes saringan klinikal kes influenza di Bintulu, Sarawak yang melibatkan seorang pelajar politeknik dan yang kedua melibatkan kes saringan warga emas di Melaka Tengah,” ujar beliau.

Sehingga kini, tambah Dr Noor Hisham, sebanyak empat kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan tiada kes yang memerlukan bantuan pernafasan.

Beliau turut memaklumkan bahawa terdapat satu kes kematian dilaporkan ke Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) hari ini.

Justeru katanya, jumlah kes kematian di Malaysia adalah sebanyak 121 kes iaitu bersamaan dengan 1.43 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Kes kematian ke-121 iaitu kes 7,468 merupakan lelaki warganegara India tahanan Depoh Bukit Jalil berumur 67 tahun dan mempunyai latarbelakang penyakit kencing manis, darah tinggi, jantung dan penyakit buah pinggang.

“Beliau didapati tidak sedarkan diri di Depoh Tahanan Imigresen Bukit Jalil dan segera dibawa ambulan ke Hospital Canselor Tuanku Mukhriz UKM.

“Beliau disahkan meninggal dunia pada Jun 12, 2020 dan saringan ujian Covid-19 didapati positif,” katanya. — DayakDaily

Advertisement