Covid-19: Kerajaan akan nilai semula PKP di negeri lapor peningkatan kes

Pemantauan akan dilakukan secara harian bagi mengenal pasti lokasi-lokasi tumpuan orang ramai yang berisiko tinggi terdedah kepada penularan Covid-19. Gambar Fail

KUCHING, 1 Mei: Kerajaan akan menilai semula perlaksaan Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) yang sedang berkuatkuasa ketika ini khususnya melibatkan negeri yang melaporkan peningkatan kes positif Covid-19.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, penilaian tersebut penting bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) dan tindakkan yang diambil sebelum ini berkesan dalam membendung penularan Covid-19 di negara ini.

“Kerajaan telah pun menggunakan sistem amaran awal iaitu Idintifikasi Titik Panas untuk pengelibatan Dinamik (HIDE) bagi mengenalpasti kawasan atau premis yang berisiko menyumbang kepada penularan Covid-19.


“Premis-premis ini akan diarah tutup jika dikesan telah dilawati oleh sejumlah besar mereka yang positif Covid-19,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pendekatan tersebut selari dengan keputusan kerajaan untuk mengawal dan seterusnya membendung penularan jangkitan Covid-19 secara lebih bersasar.

Katanya, menerusi sistem berkenaan, pemantauan akan dilakukan secara harian bagi mengenal pasti lokasi-lokasi tumpuan orang ramai yang berisiko tinggi terdedah kepada penularan Covid-19.

“Saya menyeru orang ramai supaya sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan serta mengelakkan diri daripada berada di tempat sempit dan sesak.

“Ia bagi melindungi diri, keluarga dan masyarakat daripada terus terdedah kepada bahaya jangkitan Covid-19,” katanya. — DayakDaily.