Covid-19: Empat lagi kematian, jumlah keseluruhan 57

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

KUCHING, April 4: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan empat lagi kes kematian akibat Covid-19, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian negara sebanyak 57 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata jumlah kematian setakat ini adalah 1.64 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Kes kematian ke-54 merupakan wanita warganegara Malaysia berumur 85 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit jantung. Beliau dirawat di Institut Jantung Negara pada 23 Mac dan beliau disahkan meninggal dunia pada jam 12.10 tengah malam, 28 Mac.


“Kes kematian ke-55 merupakan wanita warganegara Malaysia berumur 66 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi.

“Beliau telah dirawat di Hospital Sultan Ismail Petra, Kelantan, pada 18 Mac dan disahkan meninggal dunia pada jam 4 petang semalam,” katanya pada sidang media harian berkaitan Covid-19 di Putrajaya hari ini.

Manakala kes kematian ke-56, tambah Dr Noor Hisham, merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 56 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit jantung serta mempunyai kontak rapat dengan pesakit kes ke-1,031.

Katanya, beliau telah dirawat di Hospital Umum Sarawak pada 30 Mac dan disahkan meninggal dunia pada jam 4.16 petang semalam.

“Kes kematian ke-57 merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 61 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis.

“Beliau telah dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan, Pahang, pada 23 Mac. Beliau disahkan meninggal dunia pada jam 10.25 malam tadi,” ujar beliau.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan sebanyak 150 lagi kes positif Covid-19 dicatatkan sehingga 12 tengah hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 3,483 kes.

Menurut beliau, daripada semua kes baharu itu, 80 kes berkaitan kluster perhimpunan di Sri Petaling, Kuala Lumpur.

“Kebanyakan kes positif yang dikesan adalah berkait dengan mereka yang menghadiri perhimpunan di Sri Petaling iaitu 1,545 kes daripada 3,483 kes keseluruhan, mewakili 44.36 peratus.

“Kluster ini merupakan kluster yang terbesar setakat ini dan telah mempunyai beberapa generasi kluster jangkitan, misalnya, melibatkan ahli keluarga mereka, kontak rapat di masjid dan juga madrasah tahfiz,” katanya.

Sehingga kini, sebanyak 99 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah tersebut, 50 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Pada hari ini, terdapat 88 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya daripada Covid-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 915 kes iaitu 26.27 peratus daripada jumlah keseluruhan kes. — DayakDaily