Covid-19: Dua kes baharu, terendah sejak PKP

Filepix

Oleh Chris Bishop

KUCHING, Jun 10: Malaysia hari ini mencatatkan jumlah kes paling rendah jangkitan Covid-19 sejak bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 18 Mac lepas, iaitu dua kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 8,338 kes.

Pada hari ini juga, beliau memaklumkan bahawa terdapat 39 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj.

“Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang pulih sepenuhnya daripada jangkitan Covid-19 dan discaj dari wad adalah sebanyak 7,014 kes.

”Ia bersamaan 84.10 peratus daripada jumlah keseluruhan kes positif Covid-19.

“Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 1,206 kes dan mereka telah diasingkan dan diberi rawatan,” katanya pada sidang media harian di Putrajaya hari ini.

Tambah Dr Noor Hisham, daripada dua kes baharu yang dilaporkan, satu kes adalah kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara dan tiada kes penularan dalam negara dicatatkan di kalangan warganegara Malaysia.

Katanya, satu kes penularan dalam negara yang dicatatkan adalah merupakan seorang bukan warganegara yang dilaporkan di Kuching, iaitu kes saringan kepada kontak rapat kes ke-833.

Sehingga kini, menurut beliau lagi, sebanyak lima kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan tiada kes memerlukan
bantuan pernafasan.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan bahawa terdapat satu kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan hari ini.

Justeru, jumlah kumulatif kematian Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 118 kes iaitu bersamaan dengan 1.42 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Kes kematian ke-118 iaitu kes ke-824 merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 61 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis dan buah pinggang.

“Beliau mempunyai sejarah menghadiri perhimpunan di Sri Petaling dan telah dirawat di Hospital Sungai Buluh pada 15 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 10 Jun 2020 jam 7 pagi,” ujar beliau. — DayakDaily