Covid-19: Dua kematian dengan 122 kes baharu

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

Oleh Chris Bishop

KUCHING, Mei 3: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan terdapat dua lagi kematian baharu akibat wabak Covid-19 setakat 12 tengah hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pertambahan itu menjadikan jumlah kumulatif kes kematian akibat jangkitan wabak berkenaan dalam negara ketika ini sebanyak 105 kes.

“Kes kematian kes-104 (kes ke-5,539) adalah lelaki warganegara Malaysia berusia 82 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit jantung serta darah tinggi.

“Beliau dirawat di Hospital Sungai Buloh pada 22 April 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 2 Mei 2020 jam 6.29 petang.

“Kes kematian kes-105 (kes ke- 5,837) adalah lelaki warganegara Malaysia berusia 64 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi dan penyakit buah pinggang.

“Beliau dirawat di Hospital Tuanku Jaafar Seremban pada 27 April 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 3 Mei 2020 jam 9.46 pagi,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Berhubung bilangan kes baharu positif Covid-19, beliau berkata, sebanyak 122 kes dilaporkan hari ini, dan menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 6,298 kes.

Menurutnya, daripada jumlah itu, sebanyak 52 kes baharu adalah kes import, manakala 70 kes lagi membabitkan kes penularan temapatan.

Katanya, seramai 27 pesakit dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), dan 13 pesakit menggunakan bantuan alat pernafasan.
— DayakDaily