Covid-19: Beberapa kejohanan sukan ditangguh serta merta

Beberapa pemain remaja Jelajah Tenis Dunia J1 Piala Ketua Menteri Sarawak ke-35.

Oleh Muhammad Akmal Rizki

KUCHING, Mac 13: Beberapa kejohanan sukan tempatan ditangguhkan sebagai langkah untuk membendung penularan wabak Covid-19 yang sedang melanda negara ini.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Malaysian Football League (MFL), dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini, memutuskan untuk menangguhkan kesemua perlawanan saingan Liga Malaysia 2020 berkuatkuasa Isnin ini (16 Mac).


Keputusan menangguhkan perlawanan domestik itu turut membabitkan saingan liga amatur kelolaan Amateur Football League (AFL) serta pertandingan Piala Presiden, Piala Belia dan Malaysia Premier Futsal League (MPFL) kelolaan FAM.

FAM dan MFL bagaimanapun membenarkan semua perlawanan Liga Premier dan CIMB Liga Super yang berlangsung hujung minggu ini diadakan tanpa kehadiran penyokong.

Dua wakil dari Sarawak, iaitu Sarawak United FC dan Kuching FA, akan berentap malam esok dengan Sarawak United menentang Kuala Lumpur di Stadium Sarawak, Petra Jaya, manakala Kuching FA bertandang ke laman lawan menentang Pulau Pinang.

Logo FAM & MFL

Turut ditangguhkan serta merta adalah Jelajah Tenis Dunia J1 Piala Ketua Menteri Sarawak ke-35 (1) yang sedang berlangsung di gelanggang Lawn Tenis Sarawak (SLTA).

Dalam sidang media hari ini, presiden SLTA Datuk Patrick Liew berkata beliau telah dimaklumkan oleh Persekutuan Tenis Antarabangsa (ITF) semalam semua kejohanan ITF dibatalkan hingga 20 April depan.

“Sehubungan itu, tiada pertandingan diadakan di gelanggang. Saya telah memaklumkan semua pegawai SLTA dan pertandingan mengenai keputusan pihak ITF pagi ini.

“Saya juga telah memaklumkan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, dan semua pihak terlibat,” katanya.

Liew turut bersetuju dengan keputusan ITF membatalkan semua pertandingan ITF dan ATF kerana bimbang dengan penularan wabak Covid-19 di seluruh dunia.

Datuk Patrick Liew

Sementara itu, Persatuan Bola Baling Sarawak (SAHA) juga memutuskan menangguhkan Kejohanan Bola Baling Ketua Menteri 2020 dijadual berlangsung dari 15 hingga 19 Mac ini di Stadium Perpaduan, Petra Jaya.

Menurut kenyataan dari Setiausaha SAHA, Dr Abang Ismail Abang Julhi hari ini, pihaknya menerima pekeliling dari Kementerian Kesihatan Malaysia dan Persekutuan Bola Baling Malaysia untuk menangguhkan penganjuran kejohanan itu serta merta kerana bimbang dengan keselamatan peserta yang mengambil bahagian.

Katanya, SAHA akur dengan keputusan berkenaan dan akan memaklumkan tarikh baru kemudian. — DayakDaily